Sahabat

Bismillahirahmanirahim
Allahumma salli ‘ala Muhammad wa Ali Muhammad

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera
Alhamdulillah

Sahabat. Satu ungkapan yang memberi seribu rasa dan seribu warna-warni kehidupan manusia. Kehadirannya tidak disangka-sangka dan perginya jua tidak dipinta. Namun, mereka juga insan biasa seperti kita. Datangnya memberi bahagia dengan menegur silap kita, memperbaki kesalahan kita, menyempurnakan ruang-ruang kosong kelemahan dan kekurangan dalam diri kita. Sahabat itu datang dalam kehidupan kita dengan pemberian dari Tuhan iaitu Allah. DIA (Allah) telah menganugerahkan sahabat kepada kita.

Saat kita mula berputus asa, saat kita jatuh hampir tersungkur, Allah telah hadirkan seorang insan bernama sahabat untuk membantu kita bangkit kembali menggapai cita-cita. Pesanan dan nasihatnya menjadi pendorong untuk membangkitkan kembali semangat yang kian pudar. Kata-kata pembakar semangat dijadikan penguat untuk diri kembali teguh pada ajaran agama (Islam).

Indah. Terasa gembira hingga menitiskan air mata saat kita berjaya mengharungi susah senang bersama. Namun, andai sahabat tidak dapat membantu kita dikala kita ditimpa kesusahan, jangan! jangan terus menghukumnya dengan pelbagai tuduhan. Sahabat bukanlah manusia yang tiada kehidupannya. Sahabat juga ada amanah yang perlu dilakukan. Bukan dia sengaja meninggalkanmu menghadapinya sendirian tetapi Allah ingin mendidikmu untuk belajar mengharungi dugaan dan cabaran hidup bersendirian. Agar dikau tidak terlalu berharap pada manusia yang ada pelbagai kelemahan. DIA ingin mengajarmu agar meletakkan seluruh pergantungan hanya kepada-Nya. Ingat! Doa itu penghubung antara kita, sahabat. Walau beribu jauh jarak yang memisahkan antara kita, tetapi dengan 'doa' rindu kita akan bersatu. Kasih dan sayang kita akan bertaut dalam limpahan rahmat-Nya.

Tika bersama sahabat, kita diuji. Terkadang tidak sehaluan pendapat, tercetus salah faham dan pelbagai lagi dugaan yang bertandang. Bila mana diri dan mental diuji, biarlah kita tenang dahulu, jangan ambil keputusan terburu-buru iaitu dengan memutuskan silaturahim. Jangan sama sekali! Kelak diri menyesal nanti. Bersemukalah. Berbincang dengan baik. Jangan terlalu ikutkan perasaan, takut-takut nanti ada yang memberi kesan luka yang mendalam di hati dan sanubari. Husnuzhon itu kan lebih baik. =] Mungkin dugaan itu lebih mengakrabkan kita suatu hari nanti. Siapa tahu, kan?

Jadi, hargailah sahabat seperti mana kita ingin sahabat kita menghargai diri kita.

Allahua'lam




No comments:

Post a Comment